KOTA BHARU: Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan akan menyertai salah satu parti politik yang telah membuat tawaran kepadanya sebelum ini.

Annuar bagaimanapun berkata, beliau akan membuat penilaian untuk menyertai parti yang dilihat bertepatan dengan idealisme dan jiwa perjuangannya.

Menurutnya, buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan kepada pembentukan MN yang lebih stabil.

“Saya telah dijemput oleh tiga parti politik yang berbeza untuk menyertai mereka. Buat masa ini, saya tidak berparti tetapi secara jujurnya sebagai seorang yang berjiwa politik, tidak dinafikan kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti politik yang sedia ada.

“Saya lebih berminat kepada parti yang menyatupadukan umat Islam dan sama sekali tidak menafikan hak-hak bukan Islam di negara ini. Selain itu, parti itu juga perlu mempertahankan kejujuran, tidak melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Sri Kulim, Melor di sini hari ini.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh menegaskan MN bukan sebuah parti politik dan beliau tidak bercadang untuk menambahkan lagi bilangan parti politik yang sedia ada.

“Ada yang kata ini (MN) akan menjadi satu lagi parti politik. Jadi, saya menegaskan kita tidak bercadang untuk menambah bilangan parti politik yang sedia ada. Ia akan menyebabkan perpecahan terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

“Misi MN menggalakkan permuafakatan dalam kalangan parti-parti politik dan bukan kita jadi satu lagi parti politik. Itu tidak jadi muafakat, itu bukan tujuan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, setakat ini, MN sudah menerima permohonan keahlian lebih 30,000 orang dan jumlah itu merupakan satu sambutan yang luar jangkaan.

Tambahnya, MN akan meneruskan agenda program kebajikan dan membuka keahlian bersekutu kepada semua NGO untuk bekerjasama dalam program kebajikan termasuk misi kemanusian.-UTUSAN

The post Annuar Musa mungkin sertai parti politik sedia ada appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *