PETALING JAYA: Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerima seadanya dan berlapang dada terhadap keputusan Barisan Nasional (BN) yang menggugurkan namanya sebagai calon Ahli Parlimen Ketereh.

Bagaimanapun, menurut Annuar, beliau menyerahkan kepada rakyat dan pengundi untuk menentukan hala tuju perjalanan politik seterusnya.

“Apa pun, kita terima seadanya dan berlapang dada. Kita tutup dulu satu episod dan kita pandang ke hadapan serta menghitung langkah seterusnya. PRU14 dahulu, lebih 25,000 mengundi saya. Ahli UMNO Ketereh cuma 14,000 orang. Bererti lebih dari 11,000 undi datangnya daripada kalangan bukan ahli UMNO. 

“Kesemuanya amat saya hargai. Ia memenuhi aspirasi saya yang mahu melihat ahli UMNO dan bukan ahli UMNO terutama kalangan ahli Pas supaya kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional yang kita bersama perjuangkan.

“Untuk perjalanan seterusnya, elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya serta sentimen rakyat yang mengangkat saya. Elok saya serahkan diri saya kepada rakyat dan biar rakyat tentukan perjalanan seterusnya,” katanya dalam Facebook beliau.

Nama Annuar merupakan antara digugurkan dalam pengumuman calon BN PRU15 apabila tempat beliau digantikan oleh Ketua Puteri UMNO Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan.

Menurut Annuar lagi, beliau akan berfikir panjang sebelum bertindak dengan jiwa yang tenang dan berlapang dada.

“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar.

“Kepada kawan kawan yang bertubi-tubi dan ramai sekali memberi kata semangat di dalam perjuangan, saya ucapkan ribuan terima kasih dan mohon bertenang,” katanya. –UTUSAN

The post Annuar terima seadanya, tetapi serah kepada pengundi tentukan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *