SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yakin Pakatan Harapan (PH) dapat memenangi 112 kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, kesemua kerusi tersebut termasuk lapan buah kerusi Parlimen yang disumbangkan dari Negeri Sembilan

“Di Negeri Sembilan, saya yakin (PH) menang di kerusi Parlimen Seremban, Rasah dan Port Dickson, ia boleh dipertahankan dengan sokongan anda semua.  Kita bukan sahaja perlu menang di Seremban, Rasah, Port Dickson tetapi kita perlu menang di Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan kita perlu menang di Jelebu. 

“Sudah tentu kerusi di Negeri Sembilan kita boleh menang lapan kerusi termasuk Rembau,  kita ada peluang 50-50, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) jangan ingat beliau selamat, kita akan cuba menang di Parlimen Rembau. 

“Saya yakin pada malam Sabtu akan datang kita boleh mendapat 112 kerusi itu,” katanya sewaktu berucap pada Ceramah Politik PH Parlimen Seremban di Kampung Baru Nilai di sini malam semalam.

Siew Fook yang juga calon PH dan penyandang di kerusi Parlimen Seremban dalam pada itu menjelaskan, berbaki kurang 48 jam menjelang hari pengundian merupakan waktu kritikal bagi memastikan momentum sokongan rakyat kekal bersama PH. 

“Jadi dalam tempoh dua hari ini adalah sangat kritikal dan penting bagi memastikan momentum terus naik. Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) mungkin banyak taktik minit akhir,” katanya.

Pada PRU15 ini, Siew Fook dicabar empat lagi orang calon di Parlimen Seremban iaitu calon BN, Felicia Wong Yin Ting, calon (PN), Mohd. Fadli Che Me, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mohamad Jani Ismail dan calon Bebas, Mohd. Izzat Lesley.-UTUSAN.

 

The post Anthony Loke yakin PH menang 112 kerusi, lapan disumbangkan dari Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *