BAGAN DATUK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Perikatan Nasional (PN) menjadi parti politik paling kaya ketika ini kerana pemimpinnya banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh darurat pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Jelasnya, antara projek itu termasuk Digital Nasional Berhad (DNB) yang menjadi pemegang tunggal lesen 5G bernilai RM18 bilion.

“Muhyiddin perlu menjelaskan perkara ini.

“PN parti paling kaya di Malaysia sekarang sebab semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), buat kontrak tanpa tender, ‘sakau’ (projek kerajaan), Pas kemudian sokong,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam siri Jelajah PH di Selekoh, di sini semalam.

Menurut beliau, Pas sering menyerang PH dengan pelbagai gelaran tertentu seperti komunis dan Presiden PKR itu menjadi kuda tunggangan orang bukan Melayu.

Jelasnya, beliau tidak suka dengan sikap Pas itu bukan kerana mahu melawan ulama tetapi mahu menentang penunggang agama seperti menyatakan mereka yang menjadi ahli parti itu akan masuk syurga manakala yang lain masuk neraka.

Beliau menegaskan, beliau tidak akan sama sekali sanggup menggadai bangsa dan agamanya semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai keputusan pemimpin PKR mengisytiharkan harta masing-masing, Anwar menjelaskan, ia bertujuan mewujudkan ketelusan dan perbandingan apabila PH memerintah kerajaan nanti.

“Kita minta isytihar harta sebab jika menang dan jadi menteri, jika harta tiba-tiba bertambah, pemimpin itu kita akan tangkap dan masuk dalam Penjara Kajang,” jelasnya.

Justeru, bagi Anwar, apabila PH berjaya memerintah negara, perkara utama yang akan dilakukan ialah memulihkan semula ekonomi negara, dan bukannya memberi peluang pemimpin menambah kekayaan peribadi.

Menurut Anwar, beliau akan menggunakan hubungannya dengan pemimpin dan ahli perniagaan di India, China, Turkiye, Amerika Syarikat dan Eropah untuk melabur dan membantu membangunkan kembali ekonomi negara. – UTUSAN

The post Anwar dakwa PN parti paling kaya sebab ‘sakau’ projek masa Covid-19 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *