BATU PAHAT: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya tidak mereka cerita dongeng tentang pencalonan Datuk Mohd. Rashid Hasnon sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Menurut Mohd Rashid, tiada adegan menangis merayu untuk mendapatkan jawatan itu seperti yang dijaja Anwar dalam ceramah Jelajah Harapan di Batu Pahat kelmarin. 

Hakikatnya, untuk mendapatkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu mendapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen dan nama beliau dicadangkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum undian dilakukan. 

“Apabila saya menerima undian paling banyak oleh Ahli Parlimen, maka jawatan itu diserahkan kepada saya dan hakikatnya bukan dia (Anwar) yang menetapkan. 

“Sudah-sudahlah nak menipu rakyat dan menabur fitnah kerana rakyat boleh menilai mana cerita betul atau tidak apatah lagi ketika itu dia (Anwar) hanya Ahli Parlimen biasa sahaja,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar yang mengatakan beliau menangis merayu untuk jawatan tersebut daripada Anwar. 

Mohd. Rashid berkata, apa yang rakyat mahu dengar sekarang ini adalah apa yang ingin calon tu boleh bawa dan buat untuk mereka sekiranya terpilih, bukannya mereka cerita karut seperti itu. 

“Hakikatnya, PH sudah tidak mempunyai isu atau janji yang boleh diberikan kepada rakyat kerana hasil penipuan mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang hanya tinggal janji semata-mata,” katanya. – UTUSAN

 

The post Anwar jangan reka cerita dongeng – Rashid Hasnon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *