DOHA: Argentina memasuki Piala Dunia Qatar dengan keyakinan tertinggi apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan selepas membenam Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 dalam persiapan terakhir menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij itu kelmarin.

Lionel Messi dan rakan-rakannya tiba di Qatar semalam dengan harapan mampu me­rampas kejuaraan dunia yang kali terakhir dimenangi pada 1986, sekali gus menyamai pencapaian legenda Argentina, Diego Maradona.

Kapten Argentina itu meledak gol ke-91 bersama skuad kebangsaan dalam aksi di Abu Dhabi, namun dia tetap berwaspada dengan peluang mereka sekali pun hadir sebagai pasukan pilihan.

ANGEL Di Maria (dua, kiri) meraikan jaringannya ketika membantu Argentina membelasah UAE 5-0 dalam aksi persahabatan di Abu Dhabi semalam. – AFP

“Kami berada dalam kumpulan yang menarik tapi kami hanya memikirkan satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Kami sedar Piala Dunia tidak mudah,” katanya.

Argentina yang menjuarai Piala Dunia 1978 dan 1986 akan membuka kempen Kumpulan C dengan menentang Arab Saudi pada Selasa depan, diikuti Mexico dan Poland.

PEMAIN Perancis bergambar dalam perjalanan ke Qatar. – IHSAN PERANCIS FA

Sementara itu, juara bertahan, Perancis juga tiba di Doha semalam dalam misi menjadi pasukan pertama mengekalkan gelaran sejak Brazil pada 1962.

Sepuluh pemain yang membantu mereka menang di Rusia pada 2018 berada dalam skuad kali ini termasuk kapten, Hugo Lloris, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann tetapi mereka kehila­ngan jentera tengah, Paul Pogba dan N’Golo Kante.

Pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia berdepan Australia, Rabu depan. – AGENSI

The post Argentina ke Qatar dengan rekod 36 perlawanan tanpa kalah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *