BEKAS Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj disebut-sebut sebagai calon ‘payung terjun’ oleh Barisan Nasional (BN) bagi memberi saingan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi.

Armishah yang kini aktif sebagai aktivis masyarakat di pulau pelancongan itu dikatakan telah memulakan gerak-kerja bagi memenangi hati pengundi sejak beliau bersara beberapa bulan lalu untuk kembali ke tempat kelahirannya itu.

Berbekalkan pengalaman selaku pegawai tadbir kerajaan negeri Kedah, Armishah pernah bertugas di bawah Menteri Besar ke-8, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dari 1999 hingga 2005, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah (2016-Mei 2018) dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Mei 2020-2022).

Walaupun Muhammad Sanusi merupakan Menteri Besar daripada Pas, Armishah dikatakan bersikap profesional sepanjang menjalankan tanggungjawabnya meskipun pendirian politik mereka mungkin berbeza ketika itu.

Kepelbagaian pengalaman dalam perkhidmatannya dikhabarkan membolehkan Armishah memahami dan mengenali secara dekat aspirasi rakyat, selain pendekatan paling sesuai mengikut zaman untuk terus memacu dalam memajukan negeri ini.

Selain menjadi Setiausaha Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Teknologi Tinggi Kulim pada 2005 hingga 2007, beliau juga pernah menabur bakti selaku Pentadbir Tanah Daerah Langkawi sejak 2010 hingga 2014.

Sementara itu, Armishah berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN untuk membuat keputusan mengenai calon yang sesuai bagi kerusi Parlimen Langkawi.

“Insya-Allah kalau diizinkan oleh Allah dan juga jika diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti saya akan bertanding.

“Saya tak mahu kata saya calon tunggal atau pun tidak. Ini pilihan (calon) yang ada. Jika pucuk pimpinan merasakan saya calon boleh menang untuk Langkawi jadi saya bersedia untuk memberikan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan, ‘drama perebutan’ dengan Ketua UMNO Bahagian itu untuk bergelar calon hanyalah isu dalaman parti dan tidak perlu digembar-gemburkan kepada orang luar.

“Tak payah uar-uarkan, habaq (beritahu) kat orang lah. Sama dalam keluarga kita sekali pun kalau bergaduh laki bini kita nak habaq kat orang buat apa dan yang ini (dikatakan berebut) bukan bergaduh apa pun,” ujarnya.

Katanya, beliau sudah lama mengenali Datuk Ir. Nawawi Ahmad sejak bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah ketika pentadbiran Syed Razak.

Jelasnya, perkara berkenaan tidak dianggap sebagai satu isu besar baginya yang akan diselesaikan sebelum tarikh penamaan calon pada 5 November nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Nawawi hanya mendapat 10,061 undi sekali gus tewas dengan majoriti 8,893 undi kepada Dr. Mahathir. Beliau sebelum itu menang bergaya dengan majoriti 11,861 undi apabila menewaskan calon PKR, Datuk Ahmad Abdullah pada PRU13.-UTUSAN

The post Armishah calon BN lawan Tun Mahathir di Langkawi? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *