PUTRAJAYA: Tidak timbul isu artis tempatan dianaktirikan dalam soal penganjuran konsert di negara ini sebaliknya mereka masih bebas berbuat demikian.

Itu jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan kononnya kerajaan lebih mengutamakan konsert artis luar negara berbanding bakat tempatan.

Annuar berkata, beliau dimaklumkan banyak penganjuran konsert disertai artis tempatan dan ia sedang dirancang.

“Justeru, tidak timbul soal artis tempatan terjejas akibat lambakan konsert artis luar sebaliknya mereka bebas mengadakan konsert pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan menerusi  Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) juga menetapkan syarat-syarat ketat bagi penganjuran konsert artis luar negara.

Annuar berkata, setiap konsert artis luar perlu melalui tapisan dan syarat ketat oleh 16 agensi di bawah Puspal termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Bagi orang yang tak faham, jika sebut sahaja nama artis luar negara mereka pasti membayangkan sifat konsert itu sama dengan dibuat di negara lain namun, sebenarnya ia tidak begitu.

“Walaupun artis yang sama, tapi bila datang ke Malaysia, Puspal akan meletakkan syarat sesuai dengan norma tempatan termasuk cara berpakaian, berdialog dan persembahan yang mana ia perlu mematuhi sensitiviti tempatan,” katanya.

Katanya, beliau akui banyak penganjuran konsert membabitkan artis luar negara ketika ini namun, ia penting bagi menyokong syarikat penganjuran acara tempatan yang terjejas teruk selama dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Annuar berkata, buat masa ini, tidak pernah ada konsert artis luar negara yang dianjurkan di negara ini menimbulkan kontroversi membimbangkan.

“Kita faham kebimbangan segelintir pihak tapi mereka juga perlu faham sistem yang kita laksanakan ini turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan segelintir artis tempatan berkelakuan tidak sopan dan berpakaian menjolok mata ketika konsert, Annuar berkata, beliau percaya masih ramai artis tempatan yang berdisiplin namun, jika ia berlaku juga mereka (artis) akan dihukum oleh netizen.-UTUSAN

The post Artis tempatan tidak dipinggirkan dalam penganjuran konsert appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *