PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj mahu penggempur utama, Faizal Saari mendapatkan sentuhan yang kian lama menghilang bagi memastikan Malaysia tidak berputih mata dalam Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari depan.

Faizal gagal mempamer ­taringnya dalam Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan awal bulan ini.

Daripada lapan jaringan yang dihasilkan pasukan negara pada kejohanan itu, Faizal hanya menjaringkan satu gol ketika berdepan Jepun di peringkat kumpulan.

Faizal sebelum ini pernah mencipta sensasi muncul penjaring terbanyak di beberapa kejohanan utama antaranya Piala Asia 2017, Liga Hoki Dunia 2015, Trofi Juara-Juara Asia 2013 serta Piala Sultan Azlan Shah 2013.

“Dia perlu bangkit, sudah lama dia tidak beraksi dengan baik untuk kami.

“Dia tidak ­bermain pada Piala Sultan Azlan Shah, malah aksi­nya di Piala Negara-Negara juga kurang meyakinkan.

“Saya akan berbincang dengannya mengenai perkara ini, dia terpilih ke Piala Dunia bukan hanya untuk dirinya, tetapi bersama membawa pasukan kerana inilah masanya buat Faizal memikul tanggungjawab membawa Malaysia ke tahap seterusnya.

“Selama ini dia hanya bersandarkan kepada nama besar, dan saya tidak berminat dengan perkara sebegitu, ini pesanan buat Faizal untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan mempamerkan aksi terbaik dalam pasukan,” jelas Arul.

Dalam masa sama, Arul me­ngakui Faizal banyak bawa berubah ke arah positif setelah 10 bulan berkelana di kelab Belanda, ZSV Schaerweijde.

Begitupun, beliau menuntut Faizal untuk memberikan lebih banyak sumba­ngan kepada skuad kebangsaan.

“Dia pemain yang bagus tetapi saya rasa dia kena pertingkatkan lagi mutu permainan kerana ada kala tidak konsisten.

“Saya tidak memilih pemain berdasarkan nama, jadi dia perlu faham kita sudah melabur ­banyak masa dan tenaga terhadap dirinya,” tambah Arul.

Perjalanan agak seimbang buat Malaysia di Piala Dunia apabila diletak dalam Kumpulan C bersama Chile, New Zealand, dan juara dunia tiga kali, Belanda.

The post Arul cabar Faizal asah taring appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *