MELBOURNE: Kedua-duanya berada pada prestasi terbaik ketika ini, malah Aryna Sabalenka dan Elena Rybakina yang bakal berentap dalam final Terbuka Australia hari ini adalah pemukul terkuat di pentas tenis perseorangan wanita.
Sabalenka yang diletak sebagai pilihan kelima berada pada momentum terbaik untuk menjulang gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya.
Berusia 24 tahun, bintang Belarus itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang di Melbourne dan kemenangan ke atas pemain Poland, Magda Linette pada separuh akhir melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam 10 aksi di Australia, di mana dia turut menjuarai Kejohanan Adelaide, 8 Januari lalu.
Lebih menarik, Sabalenka turut memiliki kelebihan ke atas Rybakina apabila menang kesemua tiga pertemuan mereka sebelum ini.
“Saya cuba untuk kurangkan jeritan dalam gelanggang setiap kali gagal meraih mata atau melakukan kesilapan.
“Saya cuba menahan diri dan mengekalkan ketenangan dan kembali memberi tumpuan untuk meraih mata seterusnya.
“Saya sedar apabila sudah sampai di tahap ini, tiada siapa boleh menolong. Saya ada berbincang dengan pakar psikologi tetapi saya perlu berhadapan dengan perkara ini sendiri dan tidak bergantung kepada orang sekeliling untuk menyelesaikannya bagi pihak saya,” jelas Sabalenka.
BURU GRAND SLAM KEDUA
Rybakina yang menghuni ranking ke-23 dunia tidak kurang hebat, terutama selepas mengejutkan beberapa nama besar dalam laluan ke perlawanan akhir.
Dia melakar sensasi di Melbourne apabila mengejutkan pemain No. 1 dunia yang juga pemenang tiga gelaran Grand Slam, Iga Swiatek 6-4, 6-4 pada pusingan keempat.
Bintang Kazakhstan itu kemudian meneruskan rentak hebatnya apabila menumpaskan dua bekas pemenang Grand Slam, Jelena Ostapenko (suku akhir) dan Victoria Azarenka pada separuh akhir.
Sejak kekalahan terakhir kepada Sabalenka pada Wimbledon 2021, pemain kelahiran Moscow itu telah menunjukkan peningkatan ketara.
Dia tiba di Melbourne bersama status sebagai juara Wimbledon 2022 dengan menumpaskan Ons Jabeur. – AGENSI
The post Aryna, Elena siapa paling kuat? appeared first on Utusan Malaysia.