CALIFORNIA: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf produk daging yang berasal daripada sel haiwan selamat untuk dimakan oleh manusia sekaligus membuka jalan kepada rakyatnya untuk menikmati hidangan daging yang ‘ditanam’ di makmal.

Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) akan membenarkan syarikat California yang dipanggil Upside Foods mengambil sel hidup daripada ayam dan kemudian membesarkannya dalam persekitaran makmal terkawal untuk menghasilkan produk daging yang tidak melibatkan penyembelihan sebenar mana-mana haiwan.

FDA mengesahkan sudah bersedia untuk meluluskan penjualan daging lain yang dicipta di makmal dan terlibat dalam perbincangan dengan pelbagai firma untuk melakukan perkara yang sama, termasuk syarikat yang ingin mencipta makanan laut daripada sel hidupan marin.

“Dunia sedang mengalami revolusi makanan dan FDA komited untuk menyokong inovasi dalam bekalan makanan,” kata Pesuruhjaya FDA, Robert Califf.

Ketika ini hanya Singapura satu-satunya negara di mana produk daging yang dicipta di makmal dijual secara sah kepada pengguna, namun kelulusan AS bakal membuka jalan kepada pasaran makanan baharu yang dikatakan penyokong lebih cekap dan mesra alam daripada penternakan  tradisional.

“Kami akan melihatnya sebagai hari di mana sistem makanan benar-benar mula berubah,” kata Rakan Kongsi Pengurusan Synthesis Capital, Costa Yiannoulis.

Upside Foods yang dahulunya dikenali sebagai Memphis Meats, menuai sel daripada tisu haiwan dan kemudian menumbuhkan daging yang boleh dimakan dalam bioreaktor dan syarikat itu berkata daging yang ditanam adalah sama dengan daging yang dibesarkan secara konvensional.

Bagaimanapun perkara itu akan mengambil masa beberapa bulan kerana setiap produk perlu diluluskan oleh pengawal selia dan Upside Foods masih memerlukan persetujuan Jabatan Pertanian AS berhubung usahanya itu.-AGENSI

The post AS iktiraf daging dicipta dalam makmal selamat dimakan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *