PHNOM PENH: Pemimpin Asia Tenggara hari ini bersetuju membenarkan Timor-Leste menyertai blok ASEAN yang dianggotai 10 negara sebelum ini.

Perkara tersebut disahkan melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kemboja sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN yang sedang berlansung di Phnom Phen kini.

Timor-Leste merupakan negara ‘termuda’ di Asia Tenggara, selepas memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada tahun 2002 setelah pendudukan selama 24 tahun.

“Kami selaku pemimpin ASEAN, bersetuju atas dasarnya untuk mengakui Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11,” jelas kenyataan itu.

Pemimpin rantau ini turut bersetuju memberikan status pemerhati dan hak kepada Timor-Leste untuk menghadiri sesi sidang kemuncak serta mesyuarat ASEAN.

Blok ASEAN juga akan merangka pelan hala tuju bagi menetapkan kriteria yang perlu dipenuhi Timor-Leste sebelum negara berkenaan dianugerahkan status keahlian penuh.

Bekas tanah jajahan Portugis itu merupakan antara negara termiskin di dunia yang bergelut dengan ketidaksaksamaan, kekurangan zat makanan serta pengangguran.

Presidennya, Jose Ramos-Horta sudah lama berkempen untuk menjadi negara anggota ASEAN dan permohonan pertama kali dikemukakan pada 2011.

Ramos-Horta yang juga penerima Hadiah Keamanan Nobel, berjaya memenangi pentadbiran Timor-Leste untuk kali kedua pada April lalu selepas menyandang jawatan sama dari 2007 hingga 2012.

Indonesia yang bakal mengambil alih giliran sebagai Pengerusi ASEAN daripada Kemboja pada 2023, berharap Timor-Leste dapat menyertai blok itu secara rasmi tahun depan.

Bagaimanapun Penolong Setiausaha Filipina bagi Hal Ehwal ASEAN, Dan Espiritu berkata, tempoh sebenar untuk keahlian penuh Timor-Leste masih belum dapat diputuskan.

“Bukan kerana kita mahu menangguhkan kemasukan mereka tetapi kita mesti pastikan mereka benar-benar bersedia dengan kewajipan dan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Phnom Penh.

ASEAN ditubuhkan sebagai blok dibarisi lima negara anggota pada 1967 dan terus berkembang dengan menyaksikan Kemboja menjadi ahli terbaru pada 1999. – AFP

The post ASEAN setuju terima Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *