CYBERJAYA: Lebih 150,000 penduduk Cyberjaya kini tidak perlu lagi bersesak mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Dengkil yang terletak jauh kira-kira 16 kilometer dari bandar itu.

 Sebaliknya, sebuah blok asrama jururawat di Hospital Cyberjaya diubah suai sebagai Klinik Kesihatan Cyberjaya untuk para penduduk terutamanya golongan berpendapatan B40.

 Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, idea bagi dibuka klinik di kawasan hospital itu tercetus ketika beliau membuat lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Dengkil baru-baru ini yang menyaksikan keadaannya sesak.

Terdahulu, beliau melancarkan secara rasmi pengoperasian Hospital Cyberjaya yang siap dibina tahun lalu selepas diumumkan ketika pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dengan peruntukan RM508 juta.

 Ia dibina di kawasan dikenali Cyber 11 seluas lebih lima hektar dan memiliki kapasiti 288 katil dengan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 282,000 penduduk sekitar Daerah Sepang.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pembukaan Klinik Kesihatan Cyberjaya yang sekali dengan Hospital Cyberjaya itu menjadikan penduduk menerima dua ‘hadiah’ besar secara serentak.

 Langkah pengubahsuaian asrama kepada klinik itu bukan sahaja menjimatkan kos untuk pembinaan bangunan baharu, malah dapat mengurangkan kesesakan teruk pesakit di beberapa klinik awam termasuklah di Putrajaya.

 Menyentuh mengenai Hospital Cyberjaya ujarnya, premis itu pernah dicadangkan pihak kerajaan sebelum ini untuk diswastakan atas faktor penduduknya dalam kalangan M40 dan T20.

Namun setelah dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada tahun lalu, beliau membawa kertas Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar cadangan asal itu ditolak.

“Alhamdulillah, syor diterima kerana kita sedar lebih 70 peratus pesakit di hospital kerajaan dari B40 dan itulah sebab hospital ini lambat dibuka meskipun sudah pun lama siap,” jelasnya.

Bahkan ia muncul hospital pertama di Malaysia bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau dengan setiap reka bentuknya menekankan kelestarian dan cekap tenaga selain dilengkapi dua dewan bedah dan satu unit mesin CT-scan merupakan hospital pakar major bagi mengurangkan kesesakan di semua hospital sekitar Lembah Klang.

 Khairy optimis pengoperasian Hospital Cyberjaya dengan 14 disiplin kepakaran akan dapat membantu masyarakat mendapatkan standard rawatan terbaik pada caj yang agak berpatutan. – UTUSAN

The post Asrama jururawat diubah jadi klinik kesihatan Cyberjaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *