PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perancangan untuk menggantikan aset-aset lama digunakan kontinjen Batalion Malaysia (Malbatt) yang sedang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, penggantian aset tersebut termasuk melibatkan kira-kira 39 unit kereta perisai Condor yang telah digunakan sejak 2006 dalam misi pengaman tersebut.

“Pada masa akan datang, kami merancang dengan pihak perkhidmatan Tentera Darat membuat perolehan sebanyak 20 kenderaan jenis Alpha bagi menggantikan kenderaan Condor yang kita miliki sekarang. Penggantian ini akan dilakukan secara berfasa dan keseluruhan kenderaan jenis Alpha tersebut akan diperoleh antara 2026 hingga 2028.

“Terdapat juga keperluan mendapatkan perolehan 59 unit High Mobility Light Tactical Vehicle yang juga akan dilaksanakan oleh Tentera Darat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 850-9 di Kem Segenting di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menambah, walaupun telah berusia dan turut digunakan dalam beberapa misi pengaman termasuk di Somalia dan Bosnia Herzegovina, kereta perisai Condor tersebut masih boleh beroperasi dengan baik.

LEFTENAN Jeneral Datuk Yazid Arshad memakaikan pingat PNBB pada Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat PNBB Malbatt 850-9 di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Kem Segenting, Port Dickson hari ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

“Kami juga telah mendapat sebanyak 20 kenderaan Fitted for Radio (FFR), 15 unit trak GS Cargo. Baru-baru ini kami menghantar kapal ulang bekal iaitu kapal KD Mahawangsa yang membawa beberapa aset untuk kegunaan Malbatt 850 di Lubnan iaitu enam buah trak tiga tan, dua buah trak satu tan, dua buah ambulans dan peralatan komunikasi,” katanya.

Sementara itu, Yazid berkata, kesemua 854 anggota Malbatt 850-9 yang turut melibatkan tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah selamat tiba ke tanah air secara berperingkat bermula 28 Oktober lalu dengan kumpulan terakhir tiba pada 18 November lalu.

“Kontinjen ini telah melaksanakan tugas selama setahun bermula 13 November 2021 di Lubnan. Secara keseluruhannya, Malbatt 850-9 berjaya menguruskan sebanyak 24,198 aktiviti pengoperasian di kawasan tanggungjawab Malbatt berkeluasan 288 kilometer persegi yang merupakan kawasan tanggungjawab paling besar di bawah UNIFIL.

“Anggota Malbatt 850-9 telah mempamerkan sikap profesional dan penerimaan masyarakat di Lubnan terhadap kontinjen kita sememangnya amat positif terutama hasil dari kejayaan dan keberkesanan aktiviti Civil-Military Co-operation (Cimic) yang dirancang secara tersusun,” katanya.

Jelas beliau, lebih membanggakan, kontinjen Malbatt 850-9 mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Environmental Award malah komandernya iaitu Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin menerima pingat pengiktirafan dari Itali yang disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL. – UTUSAN

The post ATM ganti aset lama digunakan Malbatt di Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *