KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kluang, Gan Ping Sieu mendapat ‘tonik’ baharu apabila kempennya turut dibantu Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Nyata kehadiran anak jati Kluang itu melonjakkan semangat untuk meraih lebih banyak sokongan daripada penggundi di kawasan tersebut.

Menurut Halimah, sebagai rakan seperjuangan dalam BN, beliau tidak akan membiarkan Ping Sieu dan pasukannya berkempen tanpa bantuan apatah lagi cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini amat mencabar.

Katanya, peluang tiga hari berkempen selepas membantu calon-calon lain di seluruh negara akan digunakan sebaik-baiknya untuk mendekati pengundi yang digerakkan dengan semangat perpaduan kaum.

“Strategi ini adalah langkah terakhir kami untuk memenangkan calon BN yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada 2008. Mungkin dengan gerakan perpaduan daripada rombongan berbilang kaum dapat menarik perhatian untuk memberikan undi kepada BN nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tionghoa, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Halimah mengingatkan orang ramai supaya tidak memecahbelahkan perpaduan kaum yang sudah terjalin sejak sekian lama ketika berkempen untuk calon masing-masing.

Tegasnya, tindakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama harus dielakkan kerana tidak mahu hanya kerana ingin memenangkan calon sanggup mengabaikan semangat perpaduan yang sudah sinonim dengan kehidupan masyarakat di negara ini.

“Ini kerana, untuk menyatukan kaum bukan sesuatu yang mudah. Oleh yang demikian, walaupun berbeza fahaman politik namun semangat toleransi perlu dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

The post Aura Halimah bantu kempen Ping Sieu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *