KOTA BHARU: ‘Aura’ bekas Menteri Besar Perlis dan penyadang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dilihat terlalu kuat sekali gus mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, momentum tersebut membuka peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan di negeri berkenaan selepas PRU15.

“Kalau orang Malaysia pun kenal Shahidan, apatah lagi di Perlis. Beliau bukan sahaja bertanding sebagai calon, malah turut membantu kerja-kerja kempen PN di negeri berkenaan.

“Selain ‘aura’ Shahidan, gerak kerja selama yang dilakukan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memainkan peranan dalam membantu kemenangan PN di negeri berkenaan,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh di sini malam tadi.

Sebelum ini, BN membuat kejutan apabila menggugurkan nama Shahidan sebagai calon Parlimen Arau.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Setiap kali PRU sejak 1986, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Shahidan tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (bekas) dan Datuk Hashim Jasin iaitu pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau). – UTUSAN

The post ‘Aura’ Shahidan mampu tumbangkan BN di Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *