MELBOURNE: Ramai penduduk Islam di Australia kini dapat menjalankan transaksi yang lebih selamat dan diyakini apabila Pihak Berkuasa Peraturan Prudential Australia (APRA) meluluskan lesen bank Islam pertama di negara ini.

Portal ABC News melaporkan, ramai penduduk Islam terutama pasangan yang berkahwin kini mampu menarik nafas lega apabila pelbagai urusan terutama pembelian rumah dapat dilakukan dengan bank patuh syariah.

Perkara itu dipersetujui oleh seorang daripada penduduk, Fouad Alameddine yang kini tinggal menyewa di sebuah rumah di daerah Condell Park, Sydney bersama empat anak mereka.

“Masalah utama sebelum ini adalah urusan gadai janji kerana bunga atau faedah yang tinggi dikenakan bank konvensional jelas haram dalam Islam.

“Selama 12 tahun berumah tangga, kami sudah berpindah lebih sembilan kali. Kami mahu kestabilan dalam hidup dan ingin mengubahsuai kediaman mengikut kesesuaian keluarga besar kami,” jelasnya.

RAMAI MENUNGGU

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Australia, Dean Gillespie berkata, pihaknya akan memperkenalkan skim pembiayaan rumah menggunakan konsep ‘pemilikan bersama’.

Pelanggan yang ingin membeli rumah akan dikenakan bayaran sewa semasa mereka tinggal dalam kediaman yang masih menjadi harta bank itu tanpa melibatkan sebarang faedah.

“Pelanggan mungkin bermula dengan bayaran deposit 20 peratus, bermakna mereka akan mula memiliki 20 peratus rumah dan bank akan memiliki 80 peratus lagi.

“Apa yang kami benarkan pelanggan lakukan ialah membeli lebih banyak saham hartanah itu dan apabila pelanggan membuat pembayaran sewa, bahagian mereka dalam harta itu meningkat sehingga mereka menjadi pemilik sepenuhnya,” jelasnya.

Sesuai dengan hukum Islam, bank berkenaan juga tidak akan membuat sebarang urusan dengan industri perjudian, alkohol dan pornografi.

“Kami sentiasa mendapat pertanyaan daripada ekspatriat Australia yang pernah tinggal di Asia Barat dan telah menggunakan produk kewangan Islam,” katanya.

“Mereka datang ke senarai menunggu kami dan menyatakan yang mereka sangat menyukai sifat etika produk perbankan Islam yang ditawarkan,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun menurut Gillespie, lesen terhad yang dimiliki membolehkan bank tersebut menguji produknya dengan sekumpulan kecil pelanggan sehingga dua tahun sebelum dibenarkan memiliki lesen penuh.

Beliau menyasarkan institusi itu bakal dibuka kepada orang ramai menjelang 2024.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengajian Islam Universiti Charles Sturt, Profesor Madya Mehmet Ozalp berkata, Islam melarang membayar atau menerima faedah kerana akan berlaku ketidak adilan dalam setiap transaksi.

“Pembahagian secara saksama untung dan rugi adalah aspek penting dalam sistem kewangan dan perbankan Islam. Islam juga amat menggalakkan perdagangan berbanding faedah.

“Pembayaran faedah hanya akan menjadikan yang kaya menjadi lebih kaya dan yang miskin menjadi lebih miskin apabila wang mengalir ke satu arah,” jelasnya.

Menurut bancian terkini, terdapat lebih 813,000 umat Islam di Australia, kira-kira 3.2 peratus daripada jumlah populasi negara itu.

 

The post Australia perkenal bank patuh syariah pertama, komuniti Islam lega appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *