LUMUT: “Ayah terlalu sedih dan terkejut sebaik sahaja mendapat tahu kematian abang sehingga tidak sanggup datang ke sini menuntut jenazahnya,” kata Norlia Hamski, 29, ketika menun­tut jenazah Abdul Rajim di Hospital Seri Manjung semalam.

Abdul Rajim, 33, dan rakannya, Maiyden Asibin, 29, maut dalam kejadian kren tumbang ketika kerja-kerja pelupusan kren tersebut dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan petang kelmarin.

Seorang lagi rakan mereka yang berusia 34 tahun patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Seri Manjung.

Menurut Norlia, dia dan Abdul Rajim adalah dua beradik berlainan ibu dan mereka berdua amat disayangi bapa, Hamski Misuari, 58, kerana itu sahaja warisnya yang ada.

Jelasnya, walaupun keluar­ga berasal dari Tenom, Sabah, beliau sudah menetap di Masai, Johor, sejak kecil.

“Abang tiri saya agak pendiam tetapi baik hati dan saya sendiri jarang berjumpanya kerana arwah bekerja di sini manakala saya di Masai dan kali terakhir saya bercakap melalui telefon dengannya ialah kira-kira dua bulan lalu,” kata­nya.

Katanya, jenazah Abdul Rajim dibawa ke Johor untuk dikebumikan di sana.

Sepupu kepada Maiyden, iaitu Abu Bakar Hasim, 45, pula berkata, mangsa adalah anak yatim piatu berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu.

“Arwah seorang yang baik dan rajin bekerja, setiap kali datang ke ibu negara, pasti menginap di rumah saya di Selayang.

“Sudah lebih setahun saya tidak berhubung dengannya disebabkan sibuk bekerja sehinggalah mendapat tahu berita sedih ini dan bergegas saya datang ke sini,” katanya.

Jelasnya, jenazah Maiyden akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Fasa 3C, Seri Manjung di sini.

Sementara itu, Arbi Mat Salleh, 42, yang terkejut de­ngan kejadian itu bergegas bergerak dari ibu negara ke Pahang bagi mengambil isterinya, Asliza Hasim, 39, sebelum datang ke sini untuk menziarahi sahabat baik pasangan tersebut.

“Saya mengenali Abdul Rajim ketika sama-sama bekerja di Kuala Lumpur dan arwah baru datang ke Seri Manjung kira-kira tiga bulan lalu untuk bekerja,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Ayah terlalu sedih, terkejut dapat tahu kematian abang’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *