POH: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang akan berangkat ke Amerika Syarikat esok untuk melanjutkan pelajaran berazam mencapai sasaran kepantasan minimum 10 saat (s), sekali gus layak ke Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary pada Ogos tahun depan.

Menurutnya, di bawah bim­bingan jurulatih di Universiti of Auburn, Amerika Syarikat nanti, sasarannya ialah untuk memperbaharui rekod peribadi 10.09s yang dimiliki dalam acara 100 meter (m).

Katanya, melepasi masa minimum 10s penting untuk dia layak beraksi di Budapest, juga secara automatik juga bakal melayakkannya ke Sukan Olimpik Paris 2024 .

“Rekod terbaik saya adalah 10.09s bagi acara 100m dan untuk layak ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, minimum yang diberikan adalah 10s iaitu kini saya ketinggalan lagi 0.09s.

“Mungkin ada akan kata 0.09s itu nampak sedikit namun bagi saya sebagai atlet sebenarnya ia sangat susah untuk melepasi kepantasan itu, tetapi dengan dorongan ibu bapa, jurulatih dan orang sekeliling, saya yakin mampu mencapainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mene­rima sumbangan dana pendidikan bernilai RM600,000 daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Pejabat Menteri Besar Perak semalam.

Pada majlis itu, Muhammad Azeem hadir bersama bapa, Mohd. Fahmi Tajuid, 54, dan ibunya, Norazah Ibrahim, 53.

Sebelum ini, Saarani mengumumkan pemberian Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada Muhammad Azeem menerusi Belanjawan Perak 2023 yang dibentangkan sebagai galakan kepada anak muda lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan.

The post Azeem sasar bawah 10s, layak ke Kejohanan Dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *