JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menzahirkan kebimbangan mengenai situasi semasa ekonomi dunia termasuk kemelesetan yang diramalkan berlaku pada tahun depan.

Beliau menyatakan kebimbangan itu selepas sebanyak 28 negara ‘beratur’ untuk meminjam dana dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya dimaklumkan oleh pihak berkaitan mengenai terdapat 28 negara sedang menunggu giliran untuk meminjam dana dari IMF.

“Badai ekonomi sudah datang, kita perlu mempersiapkan negara supaya Indonesia tidak termasuk dalam senarai yang berikutnya (pinjam dana dari IMF),” katanya lapor Kompas.com.

Sehubungan itu, Jokowi meminta semua pihak saling bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berada pada tahap stabil.

Beliau juga menegaskan, kerajaan tidak boleh ‘bersenang-lenang’ dengan keadaan semasa dan perlu bertindak lebih agresif berbanding biasa.

“Kita akan teliti semua sektor berkaitan ekonomi untuk lihat apakah jalan terbaik bagi memastikan Indonesia tidak tergolong dalam senarai peminjam dana IMF.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan semua badan berkaitan berhubung perkara ini,” ujarnya.

Jokowi menegaskan, langkah awal yang konkrit perlu diambil bagi menyiapkan Indonesia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk kemelesetan ekonomi yang paling ditakuti kebanyakan negara di seluruh dunia.

Jelasnya, kerajaan masih belum dapat menilai kesan yang akan ditanggung Indonesia jika berlaku kemelesetan ekonomi global.

The post Badai ekonomi sudah datang, bersedialah – Jokowi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *