KUALA LUMPUR: “Bagaimana jika ibu sendiri diragut dan direntap beg tangan?” demikian kata-kata seorang hakim Mahkamah Sesyen sewaktu menempelak seorang pekerja restoran yang memohon hukuman diringankan atas kesalahan menyamun beg tangan seorang ibu tunggal warga emas.

“Kamu (tertuduh) ada ibu dan merayu supaya hukuman diringankan untuk jaga ibu. Kamu tidak fikirkan perkara itu ketika melakukan jenayah,” ujar Hakim Izralizam Sanusi ketika menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Mohamed Ghibran Mohamed Yusof, 23.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada 21 Disember lalu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Izralizam membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh yang masih boleh bekerja, namun memilih untuk melakukan jenayah samun yang kian berleluasa bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

Katanya, tertuduh yang mempunyai ibu tidak sepatutnya mengambil kesempatan menyamun ibu tunggal berusia 64 tahun yang kematian suami.

“Keputusan mahkamah juga mengambil kira faktor untuk memberi isyarat kepada masyarakat di luar sana supaya tidak melakukan jenayah. Kita mahu beri mesej bahawa kepentingan awam adalah lebih utama berbanding individu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Ghibran menyamun wanita itu dengan mengambil dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi barangan peribadi dan wang tunai RM200 di sebuah premis di Cheras, pada 11 Disember lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohamed Ghibran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan tidak dipenjarakan kerana perlu menanggung dua anak serta ibu yang sakit.

“Saya mohon ampun dan perlu jaga anak kerana sudah bercerai. Saya pernah dipenjarakan sebelum ini kerana kes dadah.

“Saya tidak lagi ambil dadah dan mohon jangan masukkan saya ke dalam penjara kerana kes samun ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman, memohon hukuman berbentuk pengajaran bagi memastikan tertuduh tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Saya mohon mahkamah ambil perhatian kes sebegini supaya hukuman diberikan memberi keinsafan dan tertuduh menjadi orang yang lebih baik selepas ini,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Bagaimana jika ibu sendiri diragut dan direntap beg tangan?’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *