BENTONG: Pengguna jambatan Sungai Kuali di Kampung Janda Baik di sini yang menghubungkan penduduk dan pengusaha calet di seberang Sungai Benus meminta agar jambatan yang rosak sejak banjir pada Disember tahun lalu segera dibaik pulih. 

Pengerusi Sahabat Alam Tampik, Rahimi Anuar berkata, sejak rosak, pengguna jambatan terbabit terpaksa menumpang jambatan milik persendirian yang dibina tuan tanah untuk kegunaan sendiri.

Katanya, setakat ini penduduk dimaklumkan belum ada kelulusan untuk membaikpulih jambatan terbabit. 

“Jambatan ini rosak ketika banjir melanda kampung ini sebelum ini dan sejak dari itu ia tidak dapat digunakan dan penduduk terpaksa menumpang jambatan milik persendirian yang dibina untuk kegunaan tuan tanah.

“Harap pihak bertanggungjawab dapat segera membaikpulih jambatan berkenaan untuk kegunaan penduduk yang terjejas sejak jambatan itu rosak,” katanya di sini semalam. 

Rahimi dalam pada itu turut meminta pihak bertanggungjawab membaikpulih semula jalan di laluan Suria Hill dan Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) yang juga rosak akibat banjir sebelum ini.

“Keadaan jalan yang rosak membahayakan keselamatan pengguna, justeru turut berharap agar ia dapat dibaikpulih segera,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, pemasangan benteng di tebing sungai terutama di kawasan sungai berhampiran rumah penduduk merupakan antara inisiatif bagi menghadapi jika kejadian banjir berulang di Kampung Janda Baik. 

“Jika tiada usaha itu, kemungkinan banjir berulang sekali gus menimbulkan masalah kepada penduduk. Buat masa ini, setiap kali hujan lebat, air sungai menjadi besar, namun keadaan masih terkawal.

“Penduduk di tepi sungai sentiasa gelisah bila hujan turun. Cuma keadaan sekarang sedikit terkawal dengan pembinaan benteng batu di tebing sungai itu,” katanya. 

Bagaimanapun menurutnya, penduduk terjejas banjir sebelum ini sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa saling ingat-mengingati menerusi aplikasi WhatsApp sekiranya hujan lebat dan air sungai melimpah.

“Selain itu, penduduk juga akan sentiasa berwaspada dengan mendengar siren amaran banjir terutamanya penduduk yang berada di sebelah hulu kampung,” katanya.

Pengusaha aktiviti kenderaan lasak (ATV) di Pulau Santap di sini, Mohd. Zaimi Mustapha, 43, pula berkata, bagi memastikan barang perniagaannya sentiasa selamat, dia mula mengambil langkah meletakkan barang perniagaannya di rumahnya yang terletak di kawasan tidak terjejas banjir setiap kali dia menutup kedai.

Selain itu, katanya, kesemua kenderaan ATV miliknya diikat dengan kemas agar ia tidak hanyut jika berlaku banjir seperti sebelum ini.

Katanya, setakat ini, itu sahaja yang termampu dilakukan olehnya yang sebelum ini pernah kerugian sekitar RM200,000 dalam dua kejadian banjir kilat yang melanda lokasi perniagaannya di Pulau Santap.

Beliau dalam pada itu berkata, dia tidak bercadang menutup perniagaannya sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) nanti memandangkan sudah menerima tempahan dari beberapa pelanggan. – UTUSAN

 

The post Baiki jambatan Sungai Kuali appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *