YAN: Penduduk menggesa Majlis Daerah Yan (MDY) mengambil tindakan segera membaiki bumbung tempat rehat dan pejalan kaki di Taman Pesisiran Sungai Yan, Jalan Pasar, di sini yang didakwa lama rosak dan terbiar.

Penduduk mendakwa, kedua-dua bumbung itu boleh membahayakan pengunjung di situ memandangkan ia menjadi lokasi kaki pancing dan kanak-kanak bermain.

Kerosakan itu kini kelihatan semakin teruk apabila struktur kerangka kayunya tmereput dan patah tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Penduduk Kampung Seberang Pekan Yan, Maimunah Mustaffa, 45, berkata, kerosakan itu dikesan lebih enam bulan lalu.

“Sepatutnya MDY ambil tindakan segera membaiki atau meruntuhkannya terus bagi mengelak kejadian tak diingini menimpa pengunjung.

“Tengok keadaannya pun dah tahu kerosakan itu berbahaya terutama kepada anak-anak kami yang tinggal di sekitar kampung berdekatan yang suka bermain di kawasan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Peniaga kedai makan, Mahmud Ali, 53, pula berkata, sebelum ini kawasan itu adalah lokasi penduduk sekitar bersiar-siar pada waktu petang kerana dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Tetapi kurangnya penyelenggaraan membaiki kerosakan itu membuatkan orang ramai rasa tidak selamat untuk berada di kawasan ini.

“Sayang sekali kerana banyak wang dihabiskan untuk membinanya tetapi kurang penyelenggaraan menyebabkan kawasan ini cacat dari segi pemandangan,” katanya.

Sementara itu, Salmah Man, 32, hairan mengapa MDY gagal membaiki bumbung tempat rehat itu sedangkan kawasan itu terletak di kawasan terbuka dan boleh memberi tanggapan negatif terhadap pembangunan kawasan Yan. – UTUSAN

The post Baiki segera kerosakan Taman Persisiran Sungai Yan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *