PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan, Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu bukan bajet pilihan raya sebaliknya satu komitmen yang bertanggungjawab dan reformis.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, jika benar ia bajet pilihan raya, maka tentunya tiada kritikan negatif langsung daripada pihak berkepentingan.

Menurutnya, bajet pilihan raya kebiasaannya lebih memberatkan langkah-langkah jangka pendek sedangkan Bajet 2023 menekankan keperluan membina daya tahan bagi menempuh cabaran jangka sederhana dan panjang.

“Bajet 2023 juga berdepan dengan  kekangan fiskal akibat peningkatan perbelanjaan bagi menangani impak pandemik sejak dua tahun lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Bajet 2023 juga masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang bakal bersidang semula selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15). 

Katanya, Bajet 2023 perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun depan.

“Usaha menyiapkan Bajet 2023 mengambil masa enam bulan membabitkan lebih 200 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan serta mengkaji lebih 250 memorandum dan 12,000 cadangan. 

“Justeru, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu tidak sia-sia kerana ia akan dibentangkan semula kepada Parlimen selepas PRU15. Malah, kerajaan baharu boleh bersandar kepada proses libat urus yang lebih komprehensif dan menyeluruh dalam merangka persiapan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat rakyat, perniagaan dan ekonomi,” katanya.

Berdasarkan rujukan pengalaman lalu, katanya, Bajet 2000 dibentangkan dan Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan, namun bajet itu terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000 sebelum diluluskan.

Sehubungan itu, katanya, MOF tetap komited membentangkan semula dan melaksanakan Bajet 2023. 

Tambah MOF jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ia meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur. 

Selain itu, katanya, walaupun tidak disebut di dalam ucapan Bajet 2023, pesara tidak dilupakan, malah peruntukan Bantuan Khas Kewangan RM350 kepada pesara bakal dibuat pada Januari 2023 manakala Bantuan Kewangan Aidilfitri RM300 pula bakal dibayar pada bulan Mac 2023 kepada sejuta pesara.  – UTUSAN

 

The post Bajet 2023 bukan bajet PRU15  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *