KUALA SELANGOR: Bajet 2023 yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara hanya akan dapat dilaksana sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, bajet tersebut hanya boleh dilaksana sekiranya rakyat mengundi BN pada PRU15 tidak lama lagi.

“Bajet 2023 banyak memberi bantuan segenap lapisan masyarakat termasuk pesawah padi, nelayan, petani dan semua rakyat mendapat manfaat daripada bajet tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong di sini, semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Bajet 2023 yang berjumlah RM372.3 bi­lion tergantung ekoran pembubaran Parlimen ke-14 yang berkuat kuasa 10 Oktober lepas.

Noh berkata, sekiranya BN menang, sudah tentu bajet itu akan dibentang semula di Dewan Rakyat untuk diluluskan.

“Maka, BN perlu kembali memerintah dan kita bawa semula bajet ini untuk dibahas untuk kita laksanakan dan ditambah baik untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat prihatin terhadap nasib pesawah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion bagi golongan itu.

Katanya, beberapa insentif diperkenalkan semula kerajaan antaranya bantuan RM200 sebulan kepada pesawah untuk tempoh tempoh tiga bulan sementara menunggu musim menuai.

“Skim bantuan RM200 sebelum ini diperkenalkan semasa zaman BN lagi, tetapi semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah ia dihapuskan, namun, semasa pentadbiran Ismail Sabri, insentif ini diperkenalkan semula.

“Skim ini secara tidak langsung dapat meringankan beban kehidupan pesawah yang hanya bergantung kepada tanaman padi untuk menyara hidup,” katanya. –UTUSAN

The post Bajet 2023 hanya dilaksana jika BN menang PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *