PUTRAJAYA: Seramai 23 orang lagi jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini, kumpulan berkenaan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH8023 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

“Mereka berlepas dari sana pukul 11.33 malam semalam (4.33 pagi ini waktu Malaysia) dan selamat mendarat pukul 1.21 tengah hari tadi,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan akhbar.

Susulan ketibaan tersebut, kerajaan Malaysia ujarnya, berjaya membawa pulang kesemua 63 orang jemaah tarekat berkenaan yang terkandas di negara tersebut sejak Jun lalu.

Kumpulan pertama seramai 36 orang sudah tiba pada 4 November lepas manakala kumpulan kedua yang berjumlah hanya empat orang lagi kemudian tiba berikut pada 7 November lalu.

Utusan Malaysia pada 8 Oktober lalu melaporkan Wisma Putra menyelaraskan usaha penghantaran balik kumpulan jemaah dari satu gerakan tarekat berpusat di Negeri Sembilan hasil susulan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengenai amalan pelik mereka yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus Ahmad.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada masing-masing 28 dewasa dan 35 orang kanak-kanak itu merupakan pengikut kumpulan Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang tiba pada Mac lalu.

Gerakan ini dipercayai konon merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu namun hampa apabila langsung tidak pernah pun dibawa ke Mekah.

Ketua tarekat gerakan sesat tersebut diusir keluar oleh pihak kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan berkaitan visa.

Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra berkata, penyelarasan turut dilakukan bersama oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kerjasama Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah. – UTUSAN

The post Baki terakhir jemaah tarekat terkandas Arab Saudi selamat tiba appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *