DI Johor, pertempuran Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU15) hanya melibatkan 26 kerusi Parlimen kerana 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah ditentukan 12 Mac lalu. Juaranya semua maklum iaitu BN yang memenangi 40 kerusi.

Nyata tindakan kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad membubarkan DUN bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu berbaloi kerana berjaya menubuhkan kerajaan BN yang stabil di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Rakyat Johor sudah membuat keputusan. Pilhan mereka ialah parti yang diyakini mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada lebih tiga juta Bangsa Johor iaitu BN.

Berdasarkan mesej jelas dalam PRN lalu, rakyat Johor dijangka sekali lagi memberi kepercayaan kepada BN untuk menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan pada PRU15.

Rakyat sedar kestabilan dan kemakmuran yang dibawa BN berjaya memberi impak dan manfaat besar kepada masyarakat, negeri dan negara.

Keupayaan kerajaan negeri yang sebelum PRN dinakhodai Hasni dan kini diperkasakan oleh Onn Hafiz terbukti membuahkan hasil yang baik. Mana tidaknya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, negeri Permata Selatan ini berjaya menarik pelaburan berjumlah RM60.9 bilion, suatu angka yang jauh meninggalkan negeri di tempat kedua iaitu Selangor dengan RM15 bilion.

Pembukaan sempadan dan pengoperasian semua sektor sepenuhnya pasca pandemik Covid-19 turut membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Kini rakyat sudah mula ‘bernafas’.

Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mengakui keputusan PRN Johor pada Mac lalu menjadi ‘tonik’ terbaik kepada semua jentera BN untuk bekerja lebih gigih bagi memenangi sekurang-kurangnya 16 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri ini.

“Malah, insya-Allah dengan usaha gigih semua jentera, kita juga mampu meraih kemenangan di empat kerusi lagi bagi merealisasikan sasaran 20 kerusi yang diberikan pucuk pimpinan parti.

“Saya minta semua jentera parti di semua peringkat terus berusaha, bertemu dan meraih sokongan pengundi sehingga ke saat-saat akhir. Johor mesti menang banyak kerusi untuk membantu pembentukan kerajaan di peringkat Pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Difahamkan, BN yakin mampu memperoleh kemenangan di kerusi Parlimen Sekijang, Ledang, Labis, Ayer Itam, Sembrong, Sri Gading, Parit Sulong, Pontian, Simpang Renggam, Tanjung Piai, Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

Empat lagi kerusi tambahan ialah Pulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Johor Bahru. Malah, angin perubahan bertiup kencang di Muar dan bukan misi mustahil BN turut menawan semula kerusi tersebut daripada Muda.

Esok hari penentuannya. – UTUSAN

The post ‘Bangsa Johor’ sekali lagi akan beri kepercayaan kepada BN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *