ALEPPO: Sekurang-kurangnya 16 orang termasuk kanak-kanak maut dalam kejadian runtuhan bangunan di bandar Aleppo  yang musnah akibat peperangan di Syria.

Sebahagian besar bandar kedua itu musnah semasa konflik Syria yang bermula hampir 12 tahun lalu dengan meninggalkan banyak struktur dalam keadaan uzur.

“Jumlah mangsa terkorban dalam runtuhan bangunan kediaman itu meningkat kepada 16 orang,” lapor agensi berita, SANA.

Menurut badan pemantau perang, mangsa termasuk rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal selama bertahun-tahun pertempuran di negara itu.

SANA melaporkan, empat mangsa berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan itu dan mereka mengalami kecederaan.

Sebelum ini, SANA melaporkan angka kematian mencecah 10 orang, meningkat sepanjang hari ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.

Sementara itu, agensi berita Kurdish melaporkan lima kanak-kanak adalah antara mangsa yang maut.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Syria, bangunan lima tingkat itu menjadi kediaman bagi tujuh keluarga.

Penduduk tempatan pula memberitahu bahawa kira-kira 35 orang tinggal di bangunan itu. – AFP

The post Bangunan runtuh di Syria: 16 orang maut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *