KUALA TERENGGANU : Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengenal pasti sebanyak 45 fasiliti kesihatan terjejas dalam bencana banjir yang berlaku sejak Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12 fasiliti dinaiki air manakala 33 fasiliti lagi terputus hubungan setelah laluan masuk ditenggelami banjir.

Menurutnya, setakat semalam, masih terdapat enam fasiliti kesihatan terjejas banjir melibatkan lima klinik desa di Besut dan satu klinik desa di Dungun.

“Fasiliti tersebut masih belum beroperasi kerana mengalami kerosakan teruk dan memerlukan beberapa proses pembaikian.

“Bagaimanapun, operasi perkhidmatan di fasiliti tersebut telah dipindahkan ke fasiliti berdekatan supaya perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Kasemani berkata, empat fasiliti di Besut dijangka dapat beroperasi pada 1 Januari depan iaitu Klinik Desa Tembila, Klinik Desa Felda Tenang, Klinik Desa Alor Lintah dan Klinik Desa Bukit Payong.

“Namun, operasi Klinik Desa Alor Keladi akan dimaklumkan kemudian kerana mengalami kerosakan teruk manakala Klinik Desa Kuala Jengai, Dungun pula akan dibuka semula selepas Monsun Timur Laut berakhir kerana ia masih berisiko dinaiki air sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang bencana banjir melanda Terengganu, sebanyak 21.8 peratus iaitu 2,735 anggota kesehatan turut terjejas banjir.

“Daripada jumlah itu, rumah seramai 847 orang dinaiki air dan 1,888 orang mengalami jalan terputus hubungan, namun begitu sehingga semalam, semua anggota kesihatan yang terjejas banjir telah kembali bertugas,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, seramai 713 petugas JKNT telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Menurutnya, seramai 3,482 orang mangsa banjir di PPS telah dirawat oleh pasukan perubatan dan tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan di PPS sepanjang bencana.

“Aktiviti kawalan pasca banjir telah dijalankan di semua PPS dan lokaliti terjejas banjir.

“Bagi kawalan vektor, sebanyak 3,788 buah premis telah diperiksa dan hanya satu premis didapati positif pembiakan nyamuk,” katanya. – UTUSAN

The post Banjir: 45 fasiliti kesihatan di Terengganu terjejas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *