KUALA NERUS: Mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri ketika bencana tersebut boleh memohon penggantian baharu secara percuma.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, selain hadir ke pejabat JPN, mangsa terlibat boleh membuat penggantian dokumen berkenaan melalui pihaknya yang akan turun padang ke kawasan terjejas.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan selain membolehkan mangsa memberi perhatian kepada proses pemulihan pasca banjir.

“JPN akan membantu mereka yang kehilangan atau kerosakan sijil lahir, sijil mati atau kad pengenalan kerana kita faham ada mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen penting itu.

“Pihak kami akan ke lokasi terjejas dan pemohon boleh membuat penggantian percuma ini melalui kunjungan itu dan akan mendapat dokumen baharu dalam masa tiga hari.

“Mangsa tidak perlu tergesa-gesa kerana tiada tempoh had masa ditetapkan untuk permohonan baharu,” ujarnya selepas program bantuan banjir kepada kakitangan JPN negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ruslin memberitahu, sejak Januari sehingga 27 Disember tahun ini, sebanyak 6,853 penggantian kad pengenalan baharu telah dibuat akibat bencana banjir di seluruh negara.

Tambahnya, jumlah tersebut termasuk lebih 500 permohonan daripada mangsa di negeri Kelantan dan Terengganu yang terjejas dengan banjir gelombang pertama dan kedua, awal bulan ini.

“Selain itu, sebanyak 7,808 sijil lahir baharu turut dikeluarkan JPN akibat kerosakan dan kehilangan ketika banjir dalam tempoh sama tahun ini berbanding 1,046 pada 2021.

“Jumlah itu dijangka terus bertambah kerana penduduk di beberapa lokasi terjejas dengan teruk terutama di daerah Besut, Terengganu dan di negeri Kelantan,” jelasnya. -UTUSAN

 

The post Banjir: Ganti dokumen pengenalan diri hilang secara percuma appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *