SYDNEY: Hujan lebat mencetuskan banjir kilat sehingga menyebabkan sejumlah pekan di kawasan pedalaman di tenggara Australia terputus hubungan akibat jalan utama dinaiki air.

Bencana banjir kali keempat yang melanda Australia itu menyaksikan hujan lebat melanda barat daya New South Wales dan timur laut Victoria.

Keadaan itu menyebabkan beberapa sungai melimpah dan kawasan rendah dinaiki air.

Perdana Menteri Anthony Albanese menerusi Twitter memaklumkan banjir kilat yang berlaku menimbulkan ‘situasi bahaya’ dan kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan negeri yang terjejas bagi menjalankan operasi menyelamat.

Di kawasan pinggir New South Wales, banyak jalan, jambatan dan ladang dinaiki air.

Molong yang terletak 300 kilometer ke barat laut Sydney dan menempatkan lebih 2,000 penduduk merupakan antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir.

Penduduk di Eugowra pula diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi akibat banjir yang berlaku.

Ketika ini, terdapat lebih 100 amaran banjir di seluruh New South Wales dan 84 lagi di Victoria akibat hujan lebat yang turun berterusan dalam tempoh 24 jam. – REUTERS

The post Banjir kilat, sejumlah pekan di tenggara Australia terputus hubungan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *