SEPANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan sebuah pusat mengundi di kawasan Parlimen Sepang ke lokasi lain susulan bangunan premis tersebut yang dilanda banjir. 

Menurut Pengarah SPR Selangor, Shafie Taib, ia melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil berikutan ia tenggelam sepenuhnya ekoran bencana alam itu semalam.

“Sehubungan itu, pusat mengundi tersebut ditukarkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil untuk proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok,” katanya menerusi kenyataan.

Jarak antara SJKT Dengkil yang terletak bersebelahan dengan Sungai Dengkil, Pasar Dengkil dan Jambatan Dengkil menuju ke SRA Dengkil ialah kira-kira 700 meter sahaja di pekan ini. 

Banjir di kawasan itu menyaksikan setakat pukul 8 malam tadi seramai 63 orang daripada 21 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Orang Ramai Dengkil. 

SJKT Dengkil berada dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ampar Tenang manakala SRA Dengkil bersebelahan Masjid Dengkil dan Balai Polis Dengkil pula PDM Kampung Baharu. 

Mengulas lebih lanjut, Shafie berkata bahawa pihak SPR Selangor menerima pemakluman berhubung isu pertukaran pusat mengundi tersebut daripada Majlis Perbandaran Sepang.

“Pihak kami telah melakukan sesi lawatan ke tapak lokasi berkaitan dan memutuskan SJKT Dengkil tidak sesuai lagi dijadikan sebagai pusat mengundi untuk PRU15,” jelas beliau. 

Kerusi Parlimen Sepang mempunyai sejumlah 50 buat pusat mengundi dengan sebuah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang sudah pun ditutup pada hari pengundian awal Selasa lalu. 

Ia menyaksikan perlawanan sengit lapan penjuru antaranya ialah calon dari Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Pejuang Tanah Air serta dua lagi dari Bebas. – UTUSAN

The post Banjir: sebuah pusat mengundi di Sepang dipindah lokasi lain  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *