KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurangan kepada 64 orang daripada 20 keluarga pada pukul 10 pagi ini berbanding 103 orang daripada 28 keluarga pada 4 petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, ketika ini hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah.

Menurutnya, di Kuala Terengganu, hanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol sahaja masih dibuka untuk menempatkan 52 orang daripada 17 keluarga.

“Selain itu, hanya 12 mangsa daripada tiga keluarga masih kekal berada di PPS Balai Raya Kampung Pantai di Besut.

“PPS terakhir yang beroperasi di Setiu iaitu Surau Kampung Nyatoh pula telah ditutup secara rasmi pagi ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambahnya, pihak berkuasa sentiasa memantau persekitaran rumah mangsa yang kini berada di PPS dan mereka hanya akan dibenarkan pulang apabila keadaan dipastikan selamat.

“Cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu hari ini secara keseluruhannya adalah baik dan cerah,” katanya.

Gelombang pertama banjir yang bermula sejak awal pagi Jumaat lalu kebanyakannya sudah surut di semua tempat namun masih ada mangsa yang terjejas kerana rumah mereka ditenggelami air disebabkan ‘banjir termenung’. – UTUSAN

The post Banjir semakin surut di Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *