SHAH ALAM: Sudah mengambil kira perubahan angin monsun, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dirancang dengan teliti bagi memastikan perlumbaan tidak terjejas seandainya banjir melanda negara.

Penganjur perlumbaan, Human Voyage menjelaskan laluan musim ini banyak tertumpu di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia memandangkan kebanyakan kawasan di pantai timur dijangka menghadapi bencana banjir.

Selain itu, perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memastikan laluan di setiap peringkat juga berjalan lancar.

Shahaizereen Abd. Hamid

Saingan LTdL 2022 meliputi jarak sejauh 1.096.9 kilometer (km), bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur semalam, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Loop Langkawi).

“Kalau dilihat pada laluan peringkat perlumbaan, boleh dilihat yang ini juga adalah langkah untuk kita mengelakkannya (banjir). Disebabkan itu keba­nyakan laluan adalah di sebelah pantai barat.

“Kami juga mempunyai pa­sukan pemantau untuk melihat laluan.

“Jika berlaku sesuatu pada laluan seperti tanah runtuh atau pokok tumbang, kami akan segera menyelesaikan masalah itu dan kalau perlu menukar laluan, kita akan membuat keputusan terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Vo­yage, Shahaizereen Abd. Hamid.

HUJAN lebat memberi cabaran tambahan buat para pelumba pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Dalam masa sama, penganjur juga memberi jaminan tidak akan berlaku kelewatan dalam pembayaran hadiah wang kemenangan buat para pemenang untuk edisi kali ini dengan hadiah berjumlah RM 800,000 menjadi habuan sepanjang lapan peringkat perlumbaan.

“Kami masih menggunakan sistem yang digunakan oleh pihak UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa), dan tahun ini ia semakin diperketatkan, habis sahaja setiap perlumbaan, setiap pembayaran wang kemenangan akan dibuat menerusi sistem tersebut.

“Setiap peringkat akan mempunyai hadiah wang kemenangan bergantung kepada zon pendakian dan zon pecutan yang ditawarkan,” kata Shahaizereen.

 

The post Banjir tidak akan jejas LTdL 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *