HULU TERENGGANU: Seorang warga emas menggagahkan diri mengangkat anak saudaranya yang lumpuh bagi menyelamatkan diri setelah kediaman mereka di Kampung Kemat di sini dilanda banjir kilat, kelmarin.

Siti Hajar Hasan, 63, berkata, paras air berlumpur yang meningkat secara mendadak memaksanya mengangkat Siti Hawa Baharun, 35, yang sebelum itu terbaring di ruang tamu ke bahagian ibu rumah yang le­bih tinggi dan selamat pada pukul 5.30 petang.

Menurutnya, ruang tamu rumahnya dinaiki air sedalam hampir 0.5 meter dan kejadian berkenaan disifatkannya begitu mengejutkan kerana hujan lebat hanya beberapa jam.

“Melihat paras air yang sudah mula memasuki ruang tamu rumah, saya tidak berfikir panjang untuk terus angkat anak saudara seberat kira-kira 40 kilogram ke bahagian ibu rumah yang lebih tinggi kerana bimbangkan ke­selamatannya.

“Anak saudara saya alami masalah kesihatan dan lumpuh setelah diserang sawan ketika usia setahun. Dia hanya mampu terbaring, saya letakkan di ruang tamu untuk mudahkan pemantauan selain bolehkannya tonton televisyen.

“Syukurlah, paras air mulai surut selepas waktu Isyak dan kami tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemat.

Tambah Siti Hajar, suami­nya, Mohd. Salleh, 67, mengalami masalah kesihatan kerana menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang hingga menyebabkan pergerakan begitu terbatas.

Katanya, dalam kejadian banjir besar sebelum ini Siti Hawa juga diangkat untuk dipindahkan ke PPS.

Dalam kejadian banjir kilat itu, seramai 71 penduduk melibatkan 23 keluarga terpaksa dipindahkan di PPS Balai Raya Kampung Kemat. – UTUSAN

The post Banjir: Warga emas gagahkan diri angkat, selamatkan anak saudara lumpuh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *