PETALING JAYA: Cabaran Kejohanan Ragbi Perdana Korporat (CPRC) berakhir dengan nota kegembiraan untuk pasukan Bank Muamalat Bullets apabila muncul juara sulung menewaskan MPK Royal Town Warriors 18-13 di Stadium Sayyidina Hamzah, Universiti Islam Antarabngsa Malaysia (UIAM) minggu lalu.

Dalam saingan ‘Championship Match’ pada Grand Final, Bank Muamalat Bullets bermula garang apabila mendahului seawal minit kedua menerusi sepakan penalti oleh pemain kebangsaan Mohamad Faris Pead, sebelum menggandakan kedudukan pada lewat babak separuh masa pertama.

Royal Town Warriors, mewakili Majlis Perbandaran Klang (MPK) cuba bangkit menerusi ‘try’ oleh Muhammad Farid Fauzi dan ‘drop kick’ oleh Nor Azmi Saruman, namun Faris menjadi wira apabila mencatatkan ‘try’ kejohanan pertama beliau buat Bank Muamalat Bullets.

Amirul Mukminin pula melengkapkan kemenangan mutlak untuk Bank Muamalat Bullets menerusi ‘try’ pada separuh masa kedua.

Jurulatih Bank Muamalat Bullets, Mazuri Sallehudin, mensyukuri nikmat kemenangan itu sambil menghulurkan pujian buat Royal Town Warriors atas saingan sengit.

(DARI KIRI) Mohamad Faris Pead (‘backline’ terbaik), Luqmannurhakiem Mohd. Ali (penjaring ‘try’ terbanyak) dan Mohamad Ikwan Akmal (penyerang terbaik) bersama hadiah individu masing-masing.

Selain mengutip hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 selaku juara, Bank Muamalat Bullets juga merangkul tiga anugerah individu menerusi Mohamad Faris Pead (‘Backline’ Terbaik), Mohamad Ikwan Akmal (‘Forward’ Terbaik), dan Luqmannurhakiem Mohd Ali (Penjaring ‘Try’ Terbanyak). MPK Royal Town Warriors pula membawa pulang RM5,000.00 selaku naib juara.

Terdahulu, pasukan PPTD Patriots, mewakili Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik muncul pemenang pada perlawanan ‘Challenge Match’ apabila membenam asakan TNB Blackoutz (Tenaga Nasional Berhad) dengan mata 35-24.

“Berdasarkan kejayaan penganjuran edisi sulung ini, kami berharap agar kejohanan ini dapat terus mendapat sokongan peminat ragbi tempatan. Kami juga berharap agar lebih banyak pasukan dapat turut serta untuk memeriahkan arena ragbi tempatan,” kata Shahrizin Shaharudin, Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, yang menganjurkan CPRC dengan Silverlake Innovations sebagai penaja utama. – UTUSAN ONLINE

The post Bank Muamalat Bullets juara sulung Ragbi Perdana Korporat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *