KUALA LUMPUR: Bantahan awal pihak pendakwaan berhubung permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menyemak semula pertuduhan yang dikenakan terhadapnya didengar pada 4 Januari tahun depan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Terdahulu, peguam, Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor memaklumkan, pihaknya menerima salinan bantahan awal itu pada 5 Disember lalu.

Peguam itu turut menyatakan bantahan awal tersebut difailkan pihak pendakwaan pada 1 Disember lalu. Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias. 

Sehubungan itu, Hakim Sequerah memerintahkan agar kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing dalam masa dua minggu.

Pada 30 November lalu, Siti Bainun memfailkan permohonan agar dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya disemak atas alasan pertuduhan-pertuduhan itu cacat dan prejudis.

Siti Bainun, 31, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 24 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan terbabit.

Perbicaraan peringkat bela diri yang sepatutnya bermula pada 5 Disember lalu ditangguhkan selepas Siti Bainun dimasukkan ke hospital kerana menghidap pneumonia. Wanita itu juga dijadual menjalani pembedahan membuang hempedu.

Tarikh baharu perbicaraan itu akan ditetapkan oleh Izralizam esok. – UTUSAN

The post Bantahan awal permohonan Siti Bainun didengar 4 Januari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *