PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan musibah banjir diumumkan dengan kadar segera.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook rasminya malam tadi.
“Saya turut mengadakan sidang media sebagai acara penutup lawatan rasmi saya ke Republik Filipina sebelum berlepas pulang ke tanah air.
“Musibah banjir turut disentuh tatkala beberapa negeri sedang dilanda bah saat ini dan bantuan kepada mangsa banjir akan diumumkan sesegera mungkin,” katanya.
Dalam sidang media di Manila, Perdana Menteri memaklumkan, beliau juga mengadakan perbincangan dengan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, tentang keadaan terkini bencana banjir dan jenis bantuan yang akan diberikan.
“Mengenai banjir di Johor dan Pahang, saya telah diberikan maklumat semasa (tentang bencana). Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri supaya peruntukan yang cukup untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, jumlah mangsa banjir di empat negeri terus meningkat dengan lebih 30,000 orang ditempatkan di lebih 200 pusat pemindahan sementara (PPS).- UTUSAN
The post Bantuan banjir diumum segera – PM appeared first on Utusan Malaysia.