ALOR GAJAH: Kerajaan negeri bercadang menaikkan jumlah bantuan pendidikan permulaan yang dibayar secara sekali bayar (one-off) kepada anak Melaka yang berjaya melanjutkan pelajaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau telah meminta pihak pengurusan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) untuk memperhalusi perkara itu demi menjaga kebajikan para pelajar.

Jelas beliau, kenaikan itu adalah wajar dan seiring peningkatan harga barangan yang tidak menentu ketika ini.

“Baru-baru ini saya telah minta Tapem untuk menaikkan jumlah sedia ada berikutan harga barang yang tidak menentu. Kalau boleh bayaran one-off kepada pelajar pengajian peringkat diploma dinaikkan daripada RM300 kepada RM500.

“Bayaran permulaan untuk peringkat ijazah pula dinaikkan lebih daripada RM400 ketika ini. Insya-Allah, saya akan usahakan perkara ini sejajar dengan tuntutan masa kini,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Peranti Siswa dan Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus Induk, Durian Tunggal di sini semalam.

Dalam pada itu, mengenai sumbangan Peranti Siswa Keluarga Malaysia, Sulaiman berkata, seramai 3,109 mahasiswa UTeM layak menerima peranti tersebut.

Katanya, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan negeri membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan serta kebajikan nasib pelajar B40.

“Usaha ini juga bertujuan membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia. Apa yang penting selepas ini gunakanlah peranti siswa ini dengan sebaiknya untuk menambah ilmu ketika pembelajaran di universiti,” ujarnya. – UTUSAN

The post Bantuan one-off pendidikan Melaka akan dinaikkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *