SUNGAI PETANI: Lebih banyak projek pembangunan berupaya dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calonnya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, calon-calon daripada parti lain didapati tidak mampu untuk berbuat demikian kerana mereka tidak ada kemahiran mengenainya.

“Banyak projek pembangunan telah saya bawa masuk di Sungai Petani semasa menjadi Senator Dewan Negara tidak lama dahulu.

“Semasa bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas 1 di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum Parlimen dibubarkan pun banyak projek menarik yang memberi manfaat kepada penduduk dapat dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Shahanim, hanya kerajaan BN yang mampu membuat perubahan sejak dahulu, sebaliknya parti-parti lain dikategorikan sebagai gagal melakukan apa-apa.

“Dari segi bercakap, pemimpin parti politik lain memang petah mengeluarkan pelbagai hujah, termasuk di waktu siang hingga tengah malam. Tetapi apabila BN berkuasa nanti, saya akan berusaha untuk bina sebuah pusat perniagaan di Pantai Merdeka untuk jualan produk tempatan di kawasan pelancongan itu.

“Di samping itu, rancangan juga akan dilakukan bagi pembinaan sebuah jambatan baharu bagi menghubungkan Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai,” katanya

Shahanim berkata, pihaknya akan berkempen tanpa jemu supaya pengundi di kawasan Sungai Petani memilih calon BN semasa PRU15 sekali gus merampas kerusi tersebut daripada pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat calon wanita BN di Kedah perlu diberi peluang untuk menang sebagai tanda prihatin terhadap golongan itu.

“Berilah peluang wanita pula untuk berkhidmat lebih baik kepada masyarakat di kawasan masing-masing, mereka juga ada sikap kasih dan sayang,” katanya.

Selain, Shahanim, tiga lagi calon wanita ditampilkan BN ialah Datuk Suraya Yaacob di Parlimen Pendang; Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (Kuala Kedah) dan Maizatulakmam Othman (Sik). – UTUSAN

The post Banyak lagi projek dilaksanakan jika BN menang PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *