SHAH ALAM: Dugaan berganda dihadapi seorang bapa selepas mengalami kemalangan jalan raya kali kedua sehingga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sekurang-kurangnya lima bulan.

Apa yang lebih merunsingkan Abd. Hanan Yusof, 39, adalah perlu memikirkan kos rawatan anak bongsunya berusia tujuh bulan yang mengalami masalah jantung sejak lahir.

Katanya, kemalangan jalan raya dialaminya pada Oktober lalu lebih teruk berbanding yang pertama pada Disember empat tahun lalu kerana mengakibatkan kecederaan teruk sehingga tidak boleh bekerja lebih tiga bulan.

Menurutnya, dia mengalami kecederaan seperti patah bahu, tulang rusuk, lengan dan pergelangan tangan kanan, jari kelingking tangan kiri dan jari kelingking kaki kiri menyebabkan tempoh 60 hari diberikan majikan tidak cukup untuk membolehkannya sembuh serta kembali bekerja.

“Saya ambil cuti ini kerana perlu menjalani sesi rawatan kecederaan yang dialami akibat mengalami kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal.

“Malah saya anggap nasib tidak menyebelahi sekali lagi apabila mengalami kemalangan jalan raya pada Oktober lalu, yang mana kali ini kemalangan motosikal paling teruk,” kata bapa kepada lima orang anak itu ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 18, di sini, semalam.

Abd. Hanan berkata, disebabkan masalah tersebut, dia yang bekerja sebagai pelukis pelan perlu menanggung kos rawatannya seperti menjalani fisioterapi yang berjumlah sekitar RM100 hingga RM300 setiap minggu.

Selain kos rawatannya, dalam tempoh sukar ini, dia dan isteri, Juliana Ismail juga perlu memikirkan rawatan anak bongsunya, Qaiser Attique Harith yang hanya boleh minum susu tepung khas berharga lebih RM100 sekotak.

Katanya lagi, anak bongsunya itu mengalami masalah injap dan bukaan saluran darah jantung sangat kecil yang mengakibatkan darah tidak dapat mengalir ke badannya secara normal.

“Saya memang mati akal kerana tahun depan dua anak mula bersekolah dan anak sulung, Qaiser Adam Harith pula masuk tahun empat tahun.

“Isteri tidak boleh bekerja selepas dinasihatkan doktor akibat masalah kesihatan dialaminya sejak beberapa bulan sebelum melahirkan anak bongsu. Jadi dialah kini menguruskan saya dan dua anak kami,” luahnya.

Sehubungan itu, Abd. Hanan merayu sumbangan orang ramai bagi menampung rawatannya dan anak serta perbelanjaan harian sepanjang tempoh tidak dapat bekerja.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank CIMB bernombor 7627634914 di bawah nama Juliana Ismail. – UTUSAN

The post Bapa buntu biaya rawatan sendiri, anak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *