KUBANG PASU: Tangisan seorang ayah mengiringi penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam kereta setelah kenderaan itu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra, di sini, hari ini.

Sambil ditenangkan ahli keluarga, orang ramai dan anggota bomba, Suhaimi Hassan, 37, berulang kali menyeka air matanya sebelum menggagahkan diri mengiringi jenazah anaknya, Muhammad Khairul Muhaimin, 12, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kereta Proton Saga berwarna biru itu dinaiki tiga beranak termasuk isteri Suhaimi yang hamil tujuh bulan.

“Suhaimi bersama isterinya, Nurul Aqmar Zainol, 35, sempat menyelamatkan diri namun Muhammad Khairul terperangkap dalam kenderaan tersebut yang terjatuh ke sungai.

“Kedalaman sungai dianggarkan kira-kira lima meter namun kereta itu tidak hanyut terlalu jauh disebabkan arus tenang. Sebaik lokasi kereta ditemukan, kenderaan itu kemudiannya terus ditarik ke darat dengan trak penunda.

“Mayat kanak-kanak berkenaan kemudiannya ditemukan berada dalam kenderaan tersebut pada pukul 4.10 petang dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 10 minit selepas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terperangkap dalam kereta yang terjatuh ke dalam Sungai Korok,petang ini.

Kesemua mereka yang berasal dari Pokok Sena dikatakan dalam perjalanan dari Tanjung Kapur menuju ke Pekan Jitra.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kenderaan tersebut dipercayai terbabas sendiri lalu menjunam ke dalam sungai.

“Kemalangan tersebut berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Pekan Jitra dan tidak melibatkan kenderaan lain.

“Sebaik ditemukan, jenazah mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. –UTUSAN

The post Bapa sebak lihat mayat anak dalam kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *