SEPANG: Seorang pekerja kilang cedera selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum melangggar tembok sebuah surau di Sungai Merab, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5.20 petang di Jalan Sungai Merab – Jalan Air Hitam Luar itu, bas yang membawa seorang penumpang itu merempuh tembok Surau An Nur Ramadhan ketika menuruni bukit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemandu bas berusia 34 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pekerja kilang yang cedera itu di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, bas berkenaan sebelum itu mengambil pekerja berkenaan di sebuah hostel di Sungai Merab dan menuju ke Kilang Sony, Bangi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian dan ketika menuruni bukit, brek bas tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik sebelum terbabas dan melanggar tembok surau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan bas berkenaan turut ditahan untuk pemeriksaaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). – UTUSAN

The post Bas kilang rempuh tembok surau appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *