LONDON: Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers amat berharap penyerang Manchester City, Erling Haaland akan bermain menentang pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini kerana ‘ramai mahu melihat pemain terbaik beraksi’.

Bintang berusia 22 tahun itu dikeluarkan akibat kecederaan ketika bertemu Borussia Dortmund tiga hari lalu dalam aksi Liga Juara-Juara dengan perlawanan berakhir 0-0.

Jurulatihnya, Pep Guardiola mendedahkan, penyerang itu demam dan cedera di kaki.

Sehingga hari ini, Haaland telah mencetak 17 gol dalam EPL dan 22 jaringan menerusi 16 penampilan dalam semua perlawanan sejak perpindahannya bernilai 51 juta pound (RM278.8 juta) dari Dortmund.

Begitupun, Rodgers tidak sabar untuk melihat anak-anak buahnya menguji diri apabila menerima kunjungan City di Stadium King Power, hari ini.

ERLING Haaland mengalami kecederaan ketika membantu Manchester City menentang bekas pasukannya, Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara.

“Anda mahu melihat pemain terbaik. Keistimewaan EPL adalah kita berpeluang melihat pemain tulen bertaraf dunia berkembang di kawasan kita. Saya sangat berharap dia akan bermain.

“Dia pemain yang cemerlang. Semua orang memuji bakatnya. Dia penjaring gol semula jadi dan bersungguh-sungguh. Dia tidak mensia-siakan larian dan perkara terbesar mengenai dia adalah sentiasa lapar.

“Saya harap dia bermain, ke­rana kehadirannya di atas padang akan mengukur pemain kami dengan adanya dia sebagai bakat terbaik,” katanya.

City kini mengekori pendahulu liga, Arsenal dengan dua mata di belakang, dilihat mampu menduduki tempat teratas de­ngan kemenangan memandang­kan Gunners hanya akan bermain menentang Nottingham Forest esok.

“Mereka pasukan de­ngan kualiti luar biasa. Anda tahu secara defensif anda perlu bekerja.

“Saya sangat mengagumi Pep dan hasil kerjanya. Kami memahami cabaran tetapi juga bersedia pada waktu kami boleh menjadi ancaman,” kata Rodgers, yang menyaksikan pasukannya kini menghuni tangga keempat tercorot. – AGENSI

The post ‘Bawakan Haaland kepada kami’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *