LANGKAWI: Pertukaran laluan saat akhir oleh pihak penganjur tidak memberikan kesan buat pelumba pasukan Alpecin-Deceunick, Sjoerd Bax untuk memastikan peringkat ketujuh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 menjadi miliknya dalam aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Perlumbaan yang terpaksa diubah mengelilingi Pekan Kuah selepas puncak Gunung Raya ditutup kerana tanah runtuh memberikan tuah buat pelumba Belanda itu untuk menghadiahkan kemenangan ketiga kepada pasukannya selepas Lionel Taminiaux dan Jakub Mareczko meraihnya ketika peringkat keempat dan kelima tempohari.

Bax, 26 tahun menyifatkan perlumbaan di Kuah amat mencabar khususnya cuaca panas di pulau ini selepas beberapa peringkat sebelum ini kesemua pelumba terpaksa berkayuh dalam cuaca hujan lebat.

“Pasukan kami memberikan kayuhan mantap minggu ini dan sudah meraih dua kemenangan. Saya sedar mempunyai peluang (meraih kemenangan).

“Ketika di peringkat ketiga saya berdepan banyak masalah dengan cuaca panas namun hari ini saya berjaya menyesuaikan diri seterusnya melakukan penamat sempurna.

“Kami tidak berjaya membentuk kerjasama yang baik cuma saya mempunyai ruang dan menambah kelajuan kayuhan. Saya berjaya merapatkan jurang dengan kumpulan depan yang melalukan pemecahan awal.

“Saya sedar berada dalam keadaan terbaik namun untuk keseluruhan ia agak sukar. Apa pun muncul juara peringkat sudah cukup baik buat saya,” jelas Bax ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Tempat kedua perlumbaan sebentar tadi diraih, Willie Smit (China Glory Continental Cycling Team) dan ketiga diraih Adria Moreno (Burgos-BH).

Sementara itu jersi kuning (pendahulu keseluruhan) kekal milik pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa (23:28.05s), manakala jersi hijau (Raja Pecut) masih dipegang juara peringkat keenam, Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team).

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff juga masih kekal menyarung jersi merah (Raja Bukit) dengan mengumpul 29 mata, manakala rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar kekal jersi putih (Terbaik Asia).

The post Bax “pulun” peringkat ketujuh LTdL 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *