SUASANA pejabat Media Mulia, Isnin lalu bertukar gamat dengan kehadiran dua beradik, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah bagi menjayakan sesi fotografi untuk sampul hadapan Pancaindera.

Kedua-duanya datang dengan semangat dan sikap yang positif, memecah keheningan dengan lawak jenaka serta celoteh masing-masing.

Penulis sengaja memilih Rock and Roll sebagai konsep fotografi kali ini. Konsep itu bersesuaian dengan jiwa dua anak muda ini yang merupakan peminat genre muzik itu.

Sepanjang sesi fotografi, Zaki dan Yamani begitu teruja memberikan ‘jiwa’ untuk menghidupkan mood konsep yang diketengahkan.

Banyak yang diborakkan antara penulis dengan dua putera kebanggaan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini.

Perbualan kami pada awalnya lebih terarah kepada kejayaan mereka merangkul gelaran juara program realiti, Family Duo musim kedua, baru-baru ini.

Dua beradik itu mengakui, Family Duo memberikan apa yang paling mereka inginkan sekian lama iaitu kebebasan daripada terus dibayangi imej bapa mereka.

“Sudah lama kami mahu lari daripada terus dibayangi imej babah. Tetapi, kami tidak tahu bagaimana caranya.

“Hanya apabila kami menyertai Family Duo, penonton akhirnya dapat melihat siapa sebenarnya Zaki dan Yamani. Bayangan imej babah itu sedikit demi sedikit dapat kami kikis.

“Itu adalah perubahan paling ketara yang kami nampak dari minggu ke minggu. Daripada sekadar menyanyi terpacak di atas pentas sehingga percubaan untuk menari, ramai memberikan maklum balas positif,” kata Zaki.

Bagi Yamani pula, dia berbangga apabila peminat mula menerima kehadiran mereka dalam industri muzik tanpa perlu lagi dikaitkan dengan status ayah mereka.

Katanya, penglibatan dalam Family Duo membuka mata ramai pihak terhadap kemampuan sebenar mereka, selain tidak lagi terperangkap dengan status sebagai anak bintang legenda.

“Orang semakin nampak kebolehan kami dalam nyanyian dan persembahan. Bahkan dalam Family Duo juga, kami dapat buat apa yang selama ini babah tidak buat. Contohnya, menari sambil menyanyi. Itu jarang dilakukan babah. Tetapi, kami buat semata-mata mahu menampakkan sisi berbeza di atas pentas.

“Kami mahukan identiti sendiri dan enggan lagi dibayangi imej babah. Kalau ada yang masih mahu terus kaitkan, lebih baik mereka tengok sahaja babah menyanyi. Sampai bila kami mahu terus dibayangi? Kami juga mahu bina jenama sendiri,” kata Yamani.

Lagu duet Hari Raya

BEBERAPA perancangan telah disusun untuk mengembangkan lagi kerjaya kedua-dua penyanyi ini selepas kejayaan mereka di Family Duo.

Terbaharu, Zaki dan Yamani bakal menghadiahkan peminat sebuah lagu Hari Raya Aidilfitri yang akan dilancarkan, tidak lama lagi.

“Lagu tersebut ciptaan Harry Khalifah yang akan menemui pendengar menjelang lebaran nanti,” ujar Zaki.
Sementara itu, umum Yamani, sebuah lagu yang menggabungkan dia bersama bapa dan adiknya bakal diperkenalkan sekitar tahun ini.

“Lagu ini dihasilkan Ezra Kong dan diperam hampir dua tahun. Ia sebuah lagu balada yang mungkin ada sedikit persamaan dengan lagu Datuk M. Nasir, Di Balik Cermin Mimpi.

“Lagu ini memberikan cabaran untuk kami menjaga cara nyanyian supaya tidak kedengaran sama antara satu sama lain. Kami mahu orang kenal suara Zaki dan Yamani, meskipun digandingkan dengan babah,” jelasnya.

Tiada jalan pintas

BUKAN mudah menjadi anak kepada penyanyi disegani. Sepanjang bergelar anak seni, Zaki dan Yamani terus berperang dengan persepsi.

Ada yang berpandangan langkah mereka ke dalam dunia hiburan menempuh jalan mudah kerana dilahirkan sebagai anak Jamal Abdillah.

Zaki bagaimanapun, tegas menepis pendapat itu. Hakikatnya, tiada jalan mudah bagi mereka. Seperti pelapis lain, mereka juga perlu meredah jalan berliku dan beronak.

“Mula-mula memang sukar, susah untuk saya memperkenalkan nama. Orang juga sentiasa membanding-bandingkan, kenapa suara saya tidak sama seperti babah.

“Yamani pula dikatakan cuba meniru suara babah. Pada satu tahap, kami keliru apa sebenarnya yang dimahukan orang,” katanya berseloroh.

Kata Yamani, kesungguhan dia dan Zaki menempa nama dalam dunia seni disaksikan sendiri ayah mereka.
“Babah nampak usaha kami. Pergi show, balik awal pagi, ikut kelas dan sebagainya. Dia tahu kami berusaha keras.

“Mungkin bagi orang luar, kami seperti guna kabel, lalui jalan pintas untuk naikkan nama. Hakikatnya, kami susah dan struggle untuk mencari tempat dalam industri seni,” ceritanya.

The post Bebas bayangan Jamal Abdillah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *