GEORGE TOWN:  Beberapa kawasan di bahagian pulau negeri ini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat sejak tengah malam hingga awal pagi tadi.

Antara kawasan yang terjejas banjir adalah Jalan P. Ramlee; Kampung Bukit, Bayan Lepas dan Kampung Naran, Batu Maung dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata,  setakat ini, tiada pusat pemindahan banjir (PPS) dibuka memandangkan setakat pukul 10 pagi ini, air di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir kilat telah surut.

”Kami menerima maklumat terdapat puluhan rumah di kawasan Batu Maung, Bayan Lepas dan George Town dinaiki air, namun, tiada penduduk yang dipindahkan.

“Air naik kira-kira 30 hingga 50 sentimeter di kawasan terlibat dan ketika ini air telah surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, semua rumah pam di lokasi terlibat juga beroperasi dengan baik dan membantu air surut dengan cepat.

“Pihak berkuasa serta agensi terlibat sentiasa memantau dengan rapi situasi cuaca di seluruh Pulau Pinang terutama lokasi yang berpotensi berlaku banjir kilat,” katanya. –UTUSAN

The post Beberapa kawasan di bahagian pulau Pulau Pinang dilanda banjir kilat  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *