PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan di lapan negeri melibatkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

JPS dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.30 petang memaklumkan, ia berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.

Menurutnya, terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi di negeri berkenaan sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku dalam tempoh 24 jam daripada waktu notis dikeluarkan.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut. 

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, menurut notis itu, lokasi hotspot yang berisiko banjir kilat melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor; daerah Kuala Muda di Kedah; daerah Melaka Tengah (Melaka); serta daerah Larut, Matang dan Selama di Perak. 

Sementara itu, lokasi yang dikenal pasti berisiko juga membabitkan daerah Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang, Kuala Terengganu di Terengganu dan Bahagian Samarahan di Sarawak. –UTUSAN

The post Beberapa kawasan di lapan negeri berisiko banjir kilat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *