JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan ikan mencukupi walaupun musim tengkujuh baharu berakhir sehingga mengakibatkan beberapa daerah dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, beberapa langkah telah diambil untuk memastikan tiada masalah kekurangan bekalan berlaku, antaranya dengan menyimpan bekalan ikan secara sejuk beku sebagai persediaan awal.
“Hujung tahun lalu, saya ada melawat pusat pengumpulan yang menangkap ikan untuk disimpan ketika musim tengkujuh.
“Berdasarkan maklumat diterima, pengusaha memaklumkan bekalan ikan khususnya di negeri ini mencukupi walaupun musim tengkujuh baru berlalu, harganya mungkin naik dan turun tetapi bekalan mencukupi, tidak timbul isu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas Johor Bahru 2023 di Dewan Terbuka Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.
Sementara itu, Zahari memberitahu, terdapat seramai 12,160 nelayan aktif yang berdaftar di 29 pangkalan nelayan di negeri ini.
“Selepas kita lakukan proses pemutihan nelayan sepanjang tahun lalu, kini terdapat seramai 12,160 nelayan aktif di seluruh negeri melibatkan 11,267 nelayan laut dan 923 nelayan darat.
“Jumlah nelayan aktif itu fleksibel, dan kita juga mempunyai lebihan 100 kuota lesen untuk nelayan. Jadi, bermakna sekiranya masih ada permohonan untuk menjadi seorang nelayan, kita masih boleh proses.
“Lesen nelayan ini penting kerana bukan sahaja memberi kebenaran kepada mereka untuk berada di kawasan perairan tangkapan ikan, malah bagi kemudahan bantuan seperti elaun RM300 sebulan, subsidi minyak, khairat kematian dan lain-lain,” katanya sambil meminta semua nelayan supaya sentiasa mengemas kini status masing-masing. – UTUSAN
The post Bekalan ikan cukup di Johor menjelang Ramadan appeared first on Utusan Malaysia.