KUALA LUMPUR: Harimau Malaya akan terbang ke Stadium Thammasat dengan hanya berbekalkan satu gol dan tugas untuk mempertahankan keputusan itu bukan mudah, kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

“Berbekalkan dengan jaringan 1-0, bukan mudah, para pemain perlu berdepan situasi yang sangat sukar,” akui jujur pengendali dari Korea Selatan itu dalam sidang media selepas perlawanan tamat.

Kelmarin di Stadium Nasional Bukit Jalil, jaringan tunggal bintang Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim minit ke-11 memberi kelebihan buat skuad kebangsaan menjelang kunjungan ke Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF, esok.

Menurut Pan Gon, anak-anak buahnya telah mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi dalam perlawanan yang sangat sukar menentang skuad Gajah Perang itu.

“Pujian kepada pemain kerana kita beraksi secara satu pasukan, kita mempamerkan persembahan kental dan semangat berpasukan telah membantu kita.

“Kita segera bertindak balas, banyak yang para pemain belajar daripada perlawanan ini,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, anak-anak buahnya memiliki tiga peluang terbaik, tetapi hanya satu gol berjaya membolosi gawang pasukan pelawat.

Mengulas pula mengenai gol kedua Malaysia yang dibatalkan pengadil Korea Selatan, Kim Dae Yong, beliau tidak dapat melihat dengan jelas apa yang terjadi.

Walau apa pun yang berlaku di dalam padang, kelmarin, jurulatih berusia 53 tahun itu memberitahu, skuad bimbingannya memiliki masa tiga hari untuk pemulihan, sebelum berdepan satu lagi ujian getir.

“Separuh akhir belum berakhir, kita perlu segera pulih dan bersedia untuk timbal balik kedua.

“Saya bangga dengan pemain malam ini, menentang sebuah pasukan yang kuat bukan mudah, tetapi mereka tenang, ambil masa dan cuba cipta ruang,” katanya.

Ketika ditanya pula mengenai mutu pengadilan, kelmarin, secara berseloroh Pan Gon memberitahu, dia tiada wang untuk membayar denda jika memberikan komen mengenai keputusan pengadil.-UTUSAN

 

The post Bekalan satu gol, bukan tugas mudah di Bangkok appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *